Sunday, September 13, 2009

Artikel Murid

SAMBUTAN HARI GURU
Sambutan hari Guru telah dimulakan pada tahun 1972. Ini membuktikan pengiktirafan dan penghargaan berterusan terhadap pengorbanan dan komitmen warga pendidik dalam menggembleng tenaga membentuk anak-anak bangsa kita untuk menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Jasa guru dalam usaha untuk mendidik anak bangsa agar dapat menjadi orang yang berguna dimasa hadapan sudah diketahui umum. Guru ICT menuntut semua insan yang bergelar guru terus gigih berusaha bagi menghasilkan anak didik yang mempunyai jati diri, berakhlak mulia dan mampu bersaing pada peringkat tempatan dan global. Hakikatnya, guru berkualiti berkemampuan untuk merealisasikan aspirasi ini menerusi pengajarannya yang berkesan dan kepimpinannya yang memberi teladan.
Sesuatu nasihat yang disampaikan itu biasanya perlu kepada pengulangan yang berkali-kali. Pada awalnya sampaikan berita gembira, seperti ganjaran baik yang akan mereka peroleh. Jika mereka tidak mahu mengikutinya barulah diberi amaran. Kita tidak boleh terus menghukum mereka. Guru-guru mesti bersabar dan banyak berdoa untuk anak-anak muridnya, kerana tugas mereka hanya berusaha mendidik tetapi yang mendatangkan kesannya adalah Allah SWT.
Allah SWT menyuruh umatnya supaya memberi peringatan kerana ia mempunyai manfaat yang banyak kepada umat Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” [Adz-Dzaariyyat:55]
Peringatan yang baik inilah boleh mengubah hati manusia, membuatkan mereka berfikir dan takut kepada Allah SWT. Perkataan yang baik ini hendaklah diiringi dengan contoh kelakuan yang baik. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan [keredhaan] Allah SWT dan [baIasan baik] hari akhirat,serta ia pula menyebut dan mengingati Allah SWT banyak-banyak [dalam masa susah dan senang].” [Al-Ahzaab:21]
Agenda untuk membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi adalah bergantung kepada modal insan yang lahir daripada sistem pendidikan negara. Sesungguhnya negara dan seluruh anggota masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada para guru untuk memastikan anak-anak bangsa dididik sebaik mungkin untuk menyediakan generasi masa depan yang cemerlang, gemilang dan tebilang. Banyak cabaran yang harus ditempuh dan semua itu memerlukan ketabahan, keyakinan serta kecintaan pada profesion perguruan itu sendiri. Hari ini tanggungjawab para guru semakin berat kerana disiplin pelajar semakin terhakis dan perlu diatasi secara bersepadu dengan kerjasama semua pihak daripada ibubapa, guru, jiran, masyarakat dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Harapan yang disandarkan kepada guru-guru adalah untuk melahirkan modal insan yang tinggi martabatnya menuntut para guru memperkasakan diri mereka dengan peribadi yang luhur kerana mereka bukan hanya penyampai ilmu tetapi sebagai pendidik yang juga bertanggungjawab membentuk keperibadian mulia. Justeru, guru yang mempunyai keperibadian yang baik harus memperlihatkan sikap profesionalisme mereka sebagai pendidik. Sekiranya guru-guru gagal menunjukkan model dan teladan yang baik mereka akan menjadi batu penghalang ke arah pembentukan pelajar cemerlang sekaligus gagal melahirkan insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Oleh Dorothy Lendai dan Nurul Syafiza

No comments:

Post a Comment